Terasa cukup lama juga saya tak update blog ini. Sebenarnya di dalam hati saya sudah berasa agak keberatan untuk meneruskan blog ini.
*big big sigh*
Janganlah bersalah sangka. Saya cukup menghargai pengunjung-pengunjung blog saya - Kak Wan, Kak Sya, AuntyLela, Kak Iza, Kak Ayu, Kak Oren, MR dan banyak lagi nama-nama yang tidak saya sebutkan atau yang saya tidak tahu. Terima kasih saya ucapkan kerana sudi mengunjungi tempat saya ini. Perkataan-perkataan anda di kotak komen juga saya tilik satu persatu. Setiap daripadanya mempunyai efek yang berbeza dan membuat saya berfikir serta menganalisa setiap baris nasihat yang diberi.
Cuma, sejak akhir-akhir ini saya susah untuk mengekspresi diri saya secara telus. Saya banyak berselindung. Baik dengan diri anda, ataupun dengan diri saya sendiri. Ini menjadikan saya agak terkeberatan untuk meluahkan apa yang terbuku di hati saya. Saya berasa tidak bebas dan tidak gembira.
Oleh itu, saya merasakan apalah gunanya saya menulis blog ini lagi kalau saya tidak boleh berterus-terang hatta di dalam blog saya sendiri. Perasaan ini sungguh tidak selesa dan kadang-kadang menyakitkan.
sehingga memungkinkan saya bertindak untuk menulis di blog lainDulu saya tidak faham kenapa ada sesetengah blogger yang saya ikuti tulisannya, mengambil keputusan untuk berpindah blog atau lebih nekad, untuk menutup dan berhenti menulis blog. Sekarang baru saya faham. Tapi alhamdulillah, buat masa sekarang, saya belum berniat untuk berhenti menulis. Di masa hadapan, saya tak tahulah.
Seharusnya saya mengikut saja kata hati. Ini kan blog saya. Saya boleh tulis sesuka hati saya. Tapi sifat privasi saya menghalang saya berbuat demikian. Ini amat membuatkan hati saya tertahan. Padahal saya sangat ingin berkongsi segalanya dengan anda semua.
Sebenarnya saya ingin menulis dengan selesa tanpa ada rasa tertahan. Adakah saya seorang yang rasakan begini? Atau ada di antara anda pembaca yang turut pernah merasakan? Silalah berkongsi dengan saya.
Mungkin semua rasa ini hanya bersifat sementara. Tetapi jika ia berpanjangan, berkemungkinan saya akan berpindah dari sini. Ke tempat yang lebih lapang, selesa dan tidak menyesakkan.
Maafkanlah saya kerana berperasaan begini.
Teringat masa kecil2 dulu. Sekeliling rumah dipenuhi kebun pokok getah. Redup dan nyaman. Petang2 bermain basikal tua Railey (?) yang ada palang setinggi paras dada budak umur 10 tahun. Anda tahu kan basikal itu? Oleh kerana pendeknya saya pada waktu itu, terpaksalah mengayuh basikal dari bawah celah palang. Yelah, manalah saya sampai nak naik atas tempat duduk basikal. Maka, berpusinglah saya dengan seorang adik sepupu lelaki saya di sekeliling rumah mengambil giliran mengenderai basikal tua tersebut. Selalunya sayalah yang mendapat giliran yang agak lama kerana saya lebih tua 1 tahun dari dia. Penat bermain basikal, kami naik ke rumah. Berebut pula hendak minum air masak. Haus.
Saya dan adik sepupu saya memang rapat sewaktu kecil. Kemana-mana berdua. Semasa saya berusia 1 tahun 2 bulan, dia lahir. Jadi, saya sempat merasai air susu ibunya iaitu adik kepada abah. Hubungan kami, secara rasminya menjadi adik-beradik sesusu. Haram bernikah kerana dia adik saya. Bukan lagi sepupu.
Ibu bapa kami bekerja. Saya dan adik sepupu ditinggal berdua untuk dijaga oleh ibu-ibu saudara di siang hari. Ada 4 ibu saudara. Bererti ada 4 buah rumah yang kami kelilingi dalam 1 hari. Tak teringat pula kemana, di mana perginya sepupu2 yang lain sewaktu itu. Memang kami cuma rapat berdua saja. 1 ibu saudara yang bongsu tinggal bersama Atok. Nenek sudah lama meninggal. Sudah 20 tahun lebih. Semasa saya berumur dua atau tiga tahun, nenek meninggal.
Waktu kami kecil2, Atok dah tua. Rambut dah beruban, suara dah serak2. Namun begitu, Atok lancar membaca tulisan jawi tanpa memakai kaca mata. Langkahnya tidak goyah. Tuturnya masih teratur. Atok suka bercerita. Saya suka bila Atok mula cakap pasal British, pasal Jepun, pasal Tok Janggut. Eh, Tok Janggut? Iya, sewaktu perjuangan Tok Janggut memuncak, Atok saya sudah ada bermain2 biji getah - katanya. Jadi umurnya berapa sehingga hari ini? Tidak ada siapa yang dapat tentukan dengan tepat. Ada yang cakap 90, ada yang cakap 95, bahkan ada yang cakap 100. Atok memang dah tua. Paling tua di kampung. Seharian saya mendengar cerita Atok pun tak apa. Kalau sudah ralit mendengar cerita Atok, basikal yang menjadi rebutan seharian pun tak diendahkan. Saya biarkan saja adik sepupu saya tu mengayuh. Saya lebih suka dengan Atok. Seronok. Dalam poket Atok selalu ada gula2. Gula2 "berangin" jernih yang dibalut dengan pembalut lutsinar. Anda tahu gula2 ini? Sudah jarang dalam pasaran saya rasa. Rasanya pedas2, pahit dan manis. Kerana saya baru berusia 10 tahun, pedaslah bagi saya.
Atok suka hisap rokok tembakau. Tembakau dan bahan2 lain itu diisi dalam satu bekas yang dipanggil "kopi". Selalu saya main2 dengan kopi tembakau Atok. Wangi. Pernah juga curi2 menghisap rokok tembakau. Bukan sekali-dua. Tapi setiap kali pun akan menyesal. Puh! Pahit!
Rumah kayu Atok luas. Cuma ada 3 bilik tapi ruang tamunya luas dan tinggi selapang-lapangnya. Boleh main badminton dengan selesa kalau mahu. Tapi malam2 awas, banyak nyamuk. Kalau Subuh, uh, sejuknya! Kena mandi air perigi. Atok siram seorang-seorang. Baik untuk tubuh katanya. Duduk diam! - Marah Atok. Saya dan adik sepupu cuma menahan gigil badan di tempat mandi tidak berbumbung tapi bertutup. Di tengah2nya ada 1 perigi. Di celah2 dan di bahagian dalam perigi ini banyak tumbuh pokok paku-pakis dan lumut. Airnya jernih dan dingin. Setiap hari saya dan adik sepupu belajar mengirai (?) air menggunakan timba yang diperbuat daripada upih pokok pinang atau pokok nibong (?). Usaha selalu menemui kegagalan. Sama ada tali timba terlepas dari tangan atau air yang berjaya dinaikkan tumpah semula ke perigi. Bila Atok melihat gelagat kami ini, dia akan ambil tali timba dan kiraikan air. Timbanya penuh berisi air dan talinya tidak sekalipun terlepas. Geram!
Sejak 5 tahun kebelakangan ini, kesihatan Atok tidak berapa baik lagi. Suatu hari, beberapa tahun yang lalu, sepulangnya Atok berjalan kaki dari masjid, sebuah motor telah melanggar Atok. Kaki Atok patah dan terpaksa dimasukkan besi. Sejak itu, Atok dah tak boleh berjalan lagi. Dah tak boleh jalan ke masjid lagi. Dah tak boleh makan tengah hari di rumah Abah lagi sebelum pergi bersolat sunat Jumaat bersama. Cuma boleh mengengsot (?) saja di dalam rumah. Orang yang melanggar Atok? Oh, dah Atok maafkan. Orang itu datang melutut dan menangis di rumah Atok. Takdir Ilahi! - Kata Atok.
2 tahun lepas, Atok mengalami serangan sakit jantung. Sejak dari itu, Atok kena makan ubat dan tak boleh lepas dari makan ubat lagi. Sehari 2 kali. Pagi dan malam. Rutin. Tapi Atok ada satu perangai pelik. Walaupun diajak berkali2 tinggal bersama di rumah kami, yang jaraknya cuma beberapa ratus meter, Atok tetap tak mahu. Mahunya di rumah besar itu juga. Jiwa dan kenangannya di situ. Apa kami boleh buat? Orang tua bukan boleh dipaksa2. Disuruh-suruh.
Tapi biasalah. Tipikal Atok ni susah nak makan ubat. Ada degilnya sikit. Mujurlah ada anak cucu dia di sekeliling. Boleh juga diharap nak nasihatkan Atok. Tapi takdir Allah, bulan lepas Atok mengadu kakinya sakit. Apabila dibawa ke klinik, terus mendapat surat rujukan untuk dibawa ke hospital. Setelah diperiksa, didapati terdapat darah beku telah terlepas dari jantung dan darah beku itu telah menyekat aliran darah ke kaki kiri Atok. Kaki Atok membiru, sejuk.
Sehari di hospital, esoknya Atok dijadualkan menjalani pembedahan segera untuk membetulkan semula saluran darah yang tersumbat di kakinya. Pembedahan ini berjalan lancar. Warna biru di kaki Atok beransur2 menghilang. Petanda darah telah mengalir semula. Dari lutut, betis... Kita kena tunggu 48 jam lagi baru tahu pembedahan ini berhasil atau tidak! - Kata doktor. Maka berkampunglah lagi kami sekeluarga bergilir menjaga Atok yang sering kelenguhan. Biasalah, di rumah, Atok memilih untuk tidur di tilam kekabu walaupun anak2nya telah menyediakan tilam yang cukup bagus. Di hospital dia terpaksa tidur di tilam yang bagus sama ada mahu atau tidak. Sebab itu kelenguhan. Bukan kebiasaannya.
48 jam berlalu. Kaki Atok dari paras betis ke bawah tidak menampakkan tanda2 pengaliran darah. Keputusan diambil segera. Kaki Atok harus dipotong sebelum ia menjadi tanggungan sakit yang lebih teruk kepada Atok.
BKA - Below Knee Amputation. Pada tahap ini, kesihatan Atok dah mula menurun. Atok dah mula ingat2 lupa. Ramai ahli keluarga yang datang menziarah, tidak dikenalnya. Ada hari2 di hospital, Atok demam kuat disebabkan kesakitan kakinya. Pembedahan tertangguh. Keluarga bingung dalam membuat keputusan. Mahu teruskan pembedahan atau tidak. Keadaan Atok memperlihatkan betapa tidak sabarnya dia mahu menemui Sang Pencipta. Pernah jantung Atok terhenti dan terpaksa menggunakan aliran elektrik untuk membuatkan jantung Atok berdenyut kembali. Saya terduduk di tepi tangga kecemasan hospital malam itu sambil menelefon seseorang untuk menenangkan hati. Getaran mula dirasakan.
Sehari kemudian. Keluarga dengan sebulat suara (majoriti) sepakat membawa Atok pulang tanpa menjalani pembedahan yang dijadualkan. Batal. Kami beriringan pulang. Waktunya menyediakan keselesaan Atok di rumah.
Di rumah, kadang2 Atok masih sempat bercerita kisah2nya kepada saya. Seperti selalu, saya setia mendengar. Kadang2 ceritanya tenggelam timbul. Diselang-seli ayat-ayat surah Yaasin yang sentiasa basah di bibirnya. Kadang2 sewaktu sedang bercerita, Atok tertidur. Kadang2 Atok teringat mahu bersolat Subuh di waktu tengah hari buta. Kehendaknya pada masa ini menjadi yang utama. Semuanya harus dilayan. Bicaranya diiyakan belaka.
5 Jun 2006, 3.05 petang, tepat 11 hari kemudian, di umur 82 tahun (menurut kad pengenalannya), Atok menghembuskan nafas yang terakhir dalam tidur. Ditemani anak dan cucu di sekeliling. Niat sebilangan ahli keluarga mahukan Atok meninggal di rumah besar, tercapai. Dengan ini, saya mengucapkan syukur kepada Allah kerana meringan dan memudahkan segalanya buat Atok dalam perjalanannya ke Rahmatullah.
Atok dimandi, dikafan, didoakan di depan kami. Saya menyaksikan segalanya dari mula sehingga akhir. Dari pipinya bersentuhan dengan bibir saya sewaktu kucupan terakhir, sehinggalah pipi yang sama saya kucup itu disentuhkan ke tanah di liang lahad. Apabila tanah membaluti jenazah, hilang sudah Atok saya yang seorang. Saya tidak akan melihat kelibatnya di mana2 lagi selepas ini. Di mana2 pun tidak akan ada lagi. Sudah tiada lagi orang yang suka bercerita kepada saya.
Hanya doa yang dapat saya beri.
Walaupun saya kehilangan, kenangan itu tetap saya simpan utuh. InsyaAllah, akan saya ceritakan semula kepada anak cucu saya suatu hari nanti.
Innalillahi Wa Innailaihi Rooji'uun...
Post a Comment